PERSONAL WISDOM

- Seeking Knowledge n Wisdom in every turn, every nook and every cranny -

- Knowledge + Practice = FAITH -

Guest Book | E-Mail | NEW Entry

 

BISIKAN …

 

Pemandangan malam ini sememangnya amat indah. Bulan yang masih amat muda membentuk satu imej sabit yang amat memukau. Seri sabit itu di tambah pula dengan sinar sebuah bintang yang gemilang sungguh mengundang arus perasaan yang tak putus.

 

Sabit itu melambangkan satu permulaan. Sabit itu adalah sabit tanggal 3 Muharram 1425 hijrah. Di mana aku sekarang? Ke mana aku hendak melangkah? Ke mana aku mahu pergi?

 

Aku tahu ke mana aku akan pergi. Aku pasti akan janji itu. Aku ingin menggapai kebahagiaan di SINI dan di SANA. Tapi persoalan-persoalan asas kerapkali menggoncang pintu fikiran, acapkali mencuri sedar membawa aku kepada lamunan yg sukar dipastikan kesudahan.

 

Di mana aku? Kepastian yang terbuku dihati hanyalah hakikat bahawa aku telah meminjam 27 tahun masa dari RabbulAlamin. Tidak kurang dari sepertiga pinjaman itu telah kuhabiskan dengan istirehat. Sepertiga yang sekurang-kurangnya itu sama dengan 9 tahun!

 

Baki 18 tahun apa yang aku lakukan? Belajar? Bekerja? Apa yang kau lakukan wahai diri?

 

Menyusur galur meneliti kelakuan hidup yang tidak boleh diundur membuatkan semangatku tak menentu. Ibadah khususku, berapa tahunkah umurnya? Sudah mencapai alam dewasa atau masih berbau pupuk jerangau? Sembahyangku, berapakah umurmu? 27 tahun seperti aku? 35 tahun? Syukurlah kalau begitu …

 

Ohh tidak, jangan kau katakan kau masih berumur beberapa bulan! Malangnya aku kalau begitu wahai sembahyang. Apa harus kulakukan? Larilah, larilah wahai diri!

 

“Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah”

Rukun yang lima dan rukun yang enam, sedalam manakah aku menghayatinya? Sedalam lautan hindi? Atau hanya sedalam lapisan air kesan mop di lantai?

 

Ohhh sejarah, kau sungguh melukakan. Aku tak sanggup melihat imej yang kau lakar di suci lipatan putih yang terhampar. Betapa warnanya! Kagumkah aku dengan warna itu? Wahai diri, kagumkah kau?

 

Arus dalam diri semakin deras. Aku kerap lemas dalam igauan tsunami persoalan yang bertali arus menghunjam kesedaran. Mengapa kau lemas? Gema satu suara yang entah melantun dari mana …

 

Imej aku menelaah buku catatan kehidupan seharian semakin nyata bermain dibenak. Betapa nyatanya peristiwa itu. Setiap helaiannya bagaikan imej video nipis senipis kertas yang memainkan setiap inci saat kehidupan.

 

Tidurku, Ibadahkah? Belajarku, Ibadahkah? Kerjaku, Ibadahkah? Perlakuanku semuanya, ibadahkah? Ibadahku, Ibadahkah? Ya Allah, kau terimakah Ibadahku? Wahai makhluk sekelian sekelilingku, Ibadahkah aku ini?

 

Kepala aku semakin berat. Realiti mencubit mimpi dan rasional pun membisikkan kata yang perlahan namun kesannya bagaikan halilintar tunggal membelah tanah : “kau masih bertatih. ‘di situlah’ kau berada”

 

Keheningan malam nan dingin mengiangkan kata-kata nasihat seseorang yang di dengar: “umur kau umur menuai. Bukan lagi umur menanam. Jangan habiskan masa kau menanam”. (Umurku umur beramal, bukan umur terkapai-kapai mencari haluan)

 

“Hanya kepada Mu lah aku minta pertunjuk. Tunjukkilah aku jalan yang lurus”

 

Mulalah wahai diri, mulalah!

 

Sabit indah dan cahaya yang gemilang itu lesap entah ke ufuk mana. Gemilang itu tetap ditempatnya! Sabit itu yang berubah ufuk!

 

Orang yang bertatih akan berjalan, orang yang berjalan akan berlari, orang yang berlari akan ke hadapan.

 

Jadilah saksi wahai hamparan elektronik, jadilah saksi! Dan diri, ke manakah kau selepas ini?

 

BERTATIHLAH!