PERSONAL WISDOM

- Seeking Knowledge n Wisdom in every turn, every nook and every cranny -

- Knowledge + Practice = FAITH -

Guest Book | E-Mail | NEW Entry

 

 

PERCAYA

 

Bila kita percayakan sesuatu, pasti kepercayaan kita itu akan teruji suatu hari nanti. Perkara ni selalu berlaku kepada diri aku. Tak kiralah apa saja yang aku percaya, samada berkaitan dengan akidah ataupun berkaitan dengan kehidupan, aku pernah melaluinya.

 

Selalunya, kita tak sedar diri kita sedang teruji sehinggalah ada orang mengingatkan bahawa kita telah melanggar apa yang dipercayai. Hmm, merah muka menahan malu dan kadangkala naik marah juga kerana tercabar keegoan.

 

Pada aku, disinilah pentingnya sahabat. Orang yang berkongsi segala-galanya. Bila kita silap, mereka menegur dengan cara yang sesuai. Sahabat yang baik boleh meningkatkan kematangan dalam kehidupan.

 

Berbalik kepada percaya. Aku selalu mengingatkan kawan-kawanku bahawa ketawa berlebihan boleh mengurangkan daya ingatan dan boleh membutakan hati. Pastinya, walaupun aku percaya perkara ini, aku sebenarnya kerap ketawa dengan berlebihan.

 

Syukurlah, aku punya rakan yang baik dan memahami. Mereka selalunya akan meletakkan jari telunjuk ke bibir sambil tersenyum menandakan bahawa aku dah berlebihan. Aku senyum kembali dan mengurangkan ketawa.

 

Aku boleh bayangkan keadaan kalau ada orang menempelak aku pada ketika itu. Aku pasti melenting walaupun aku akan sedar bahawa aku memang silap.

 

Dalam hidup ini pada aku, janganlah kita segan-segan untuk memberikan kata-kata semangat, nasihat dan apa sahaja perkara yang berguna sebab, pada masa yang sama, sebenarnya kita sedang memberikan semangat, nasihat, galakan dan perkara yang berguna kepada diri kita sendiri.

 

Aku percayakan banyak perkara. Untuk hari ini, itulah sahaja yang dapat aku kongsi untuk korang semua. Sehingga lain waktu ...

 

______________________________________________

PersWis, 17 Mac 2003