PERSONAL WISDOM

- Seeking Knowledge n Wisdom in every turn, every nook and every cranny -

- Knowledge + Practice = FAITH -

Guest Book | E-Mail | NEW Entry

 

BATASAN

Segala sesuatu ada batasannya. Batasan pada pendapat aku terbahagi dua.

 

(1) Batasan semulajadi, seringkali dalam bentuk fizikal. Contohnya, kemampuan seseorang manusia untuk bergerak dengan menggunakan anggota semulajadinya adalah dalam kadar beberapa 22 kilometer sejam sahaja.

(2) Batasan yang dikenakan terhadap sesuatu untuk (selalunya) melindungi keadaan batasan semulajadi. Contohnya, larangan merokok di kawasan yang mudah terbakar. Secara semulajadi, bahan-bahan yang ada dikawasan tersebut mudah terbakar, jadi larangan merokok dikenakan ditempat teresebut untuk mengelakkan kebakaran.

Apa yang hendak disampaikan sebenarnya?

Hidup kita ini dikelilingi oleh perbatasan. Secara semulajadi ataupun sebaliknya. Sebagai seorang manusia, kita harus arif dengan perbatasan-perbatasan yang wujud supaya kita boleh mencapai sesuatu yang bermakna dan meningkatkan martabat dan darjat diri.

Kerana mengenali batasan diri, manusia telah berjaya mencipta pelbagai benda. Namakan sahaja benda yang telah melonjakkan batasan diri kita ke tahap yang baru, Kapal terbang? Komputer? Kereta? Kipas? ??? ... senarai ini boleh diteruskan ...

Disamping dunia fizikal, kita juga harus sentiasa sedar bahawa kita, manusia, makhluk yang dijadikan oleh Allah Azzawajalla tercakup dan terkawal oleh batasan-batasan yang dikenakan oleh-Nya. Islam mengenakan batasan kepada umatnya untuk melindungi Akidah, Akal, Keturunan, Harta dan Nyawa.

Janganlah kita anggap sekatan yang dikenakan sebagai suatu beban ataupun sesuatu yang kalut kerana sebagai Maha Pencipta Dia tahu apa yang terbaik untuk kita. Dengan menuruti batasan yang dikenakan ke atas diri, InsyaAllah kita boleh meningkatkan martabat di sisiNya. Wajib, Haram, Mustahil, Harus dan Makruh adalah antara batasan yang terkandung di dalam Ad-Din yang sempurna.

Di dalam dunia ini, terdapat banyak perkara yang ingin kita capai terutamanya yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Mungkin kita berimpian dan berharapan agar kita menjadi orang yang berpengaruh dan berkuasa, mungkin kita berharap agar kita dapat hidup bahagia atau mungkin juga kita berimpian untuk menjadi seorang yang berjaya di dalam segala-galanya.

Untuk mencapai impian, berbagai perkara dan usaha boleh dilakukan untuk merealisasikannya. Masalah bagi kita semua pada zaman sekarang ini ialah terlalu banyak jalan yang boleh kita pilih untuk mencapai sesuatu maksud dan hasrat itu. Secara ringkasnya, jalan yang boleh kita ikuti boleh di kategorikan kepada jalan yang baik dan jalan yang keji.

Ad-din sebagai satu cara hidup yang sempurna telah menyediakan garis panduan kepada kita tentang jalan manakah yang sebaik-baiknya boleh diikuti. Batasan yang telah Allah tentukan kepada kita juga jelas dan pada pandangan aku, ia sudah teramat luas untuk kita memilih sesuatu yang berada di luar perbatasan yang telah ditetapkan.

Tetapi, hidup ini seperti yang kita semua maklum adalah satu medan ujian. Janganlah kita merasakan bahawa kita telah mengikuti sesuatu syariah itu dan kita tidak akan diuji tentang keyakinan kita ke atas sesuatu syariah itu. Ujian adalah pasti, seperti pastinya kematian itu.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3


Kejayaan menghadapi ujian itulah yang membezakan tingkatan iman seseorang itu di sisi Allah.

"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
- Surah Al-Imran ayat 139


Di dalam dunia ini, jika kita lihat binatang, kegagalan di dalam ujian bermakna hidup atau mati. Bagi kita manusia, yang dikurniakan akal dan tanggungjawab, kegagalan atau kejayaan mengharungi ujian bermakna syurga atau neraka. Bila dinyatakan ujian, pastinya kita tidak dapat mengelak daripada membicarakan tentang kesabaran. Pada pendapat aku, kenyataan bahawa “kesabaran itu juga ada batasnya” adalah satu kenyataan yang berguna sekiranya kita melihatnya dari sudut yang positif.

Menyedari tentang batasan kesabaran kita adalah satu petanda bahawa kita memahami tentang keadaan diri kita. Ini adalah penting dan menunjukkan bahawa kita melakukan muhasabah diri (yang seharusnya dilakukan setiap malam sebelum tidur). Bila kita menyedari batasan kesabaran, janganlah pula kita berhenti disitu sahaja. Berusahalah dengan segenap daya untuk merempuhi tahap kesabaran yang kita telah ada. Bila kita berjaya, InsyaAllah tahap kesabaran dan keimanan kita akan meningkat. Bila kita sudah biasa dengan suatu tingkatan itu, kita pasti akan diuji lagi, seterusnya dan seterusnya. Adakah kita akan tewas dengan ujian? Persoalan ini mampu dijawab oleh keazaman dan keimanan diri kita sahaja.
 

PersWis, 23 March 2003